Sabtu, 11 September 2021

KHOO LAY KHOON, KAWAN CINA DI SEKOLAH MENENGAH ISMAIL PETRA

 
Masih banyak kawan sekolah dahulu yang tidak ditemui, mahupun dijejak di mana mereka berada. Tambah-tambah lagi kawan yang bukan berasal dari kampung yang sama.

Sebaik menamatkan persekolahan, terus terputus hubungan. Pun begitu ada juga yang dapat bersama ketika menyambung pengajian di pusat pengajian tinggi dan bekerja dalam sektor yang sama, biarpun berlainan lokasi.

Catatan kali ini berkaitan dengan individu sebelah kanan dalam gambar. Namanya, Khoo Lay Khoon. Kawan sekolah semasa di Sekolah Menengah Putera dan Sekolah Menengah Ismail Petra.

Satu-satunya pelajar berbangsa Cina di sekolah berkenaan yang sama usia. Ada dua tiga orang lagi pelajar Cina dari tingkatan berbeza.

Ambo kira rapat juga dengan Lay Khoon. Kerap juga pergi ke rumahnya yang terletak di Taman Bahagia, tidak jauh dari sekolah. Dia hanya berjalan kaki ke sekolah.

Di sekolah dia dikenali dengan nama Khoo. Memang kebiasaan di Kelantan, orang Cina akan dipanggil dengan nama keluarganya.

Satu hari, ambo pergi ke rumahnya. Yang keluar menyahut panggilan adalah ayahnya. Ambo beritahu nak jumpa dengan Khoo. Ayahnya tanya nak jumpa dengan Khoo mana?

Apabila ditanya begitu, ambo mula keliru. Takkanlah salah rumah. Memanglah perumahan itu majoriti penduduk Cina.

Lalu, ambo bertegas kata tidak salah rumah dah. Sudah banyak kali datang ke rumah tersebut.

Dengan selamba bapa dia menjawab, yalah hendak jumpa dengan Khoo yang mana satu. Hok tinggal di rumah ni semua nama Khoo.

Oiii... baharu aku teringat tentang perkara ini. Bukan tidak faham atau tidak tahu tentang kaedah penamaan orang Cina yang menggunakan nama keluarga sebagai awalan. Tetapi disebabkan sudah biasa menggunakan nama keluarga, maka itulah yang diingat dan disebut.

Sudah lebih 35 tahun tidak bertemu dengan Lay Khoon. Dengan khabar dia sudah menetap di Lembah Klang. Namun, masih mengekalkan dialek Kelantan. 

Gambar ini dikongsikan di kumpulan media sosial oleh kawan yang terserempak dengannya di satu majlis. 

Entah berpeluang atau tidak bertemu dengan Lay Khoon semula. Begitu juga dengan kawan-kawan lain.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan