Rabu, 3 Ogos 2022

MACAM MANA CARA KAWAL NAFSU

 
Manusia sentiasa terdorong melakukan perbuatan merugikan akibat terikut-ikut bisikan nafsu. Seberat-berat musuh bagi manusia adalah nafsu kerana ia mampu menjerumuskan manusia ke arah kejahatan di dunia ini.

Baginda SAW menegaskan dalam hadis daripada Ibn 'Abbas: "Sejahat-jahat musuh kamu ialah nafsu kamu sendiri yang berada antara dua rusuk kamu." (Riwayat al-Baihaqi)

Hakikatnya, nafsu perlu ada dalam diri kita, tetapi nafsu itu hendaklah dididik. Nafsu jika tidak dididik dan dijinakkan maka akan mendatangkan kerosakan kepada diri di dunia, lebih-lebih lagi di akhirat.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Nampakkah (wahai Muhammad) keburukan keadaan orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhan yang dipuja lagi ditaati? Apakah engkau akan menjadi pelindungnya?" (Surah al-Furqan, ayat 43)

Berasaskan gambaran yang diberikan al-Quran itu, Nabi Muhammad SAW menggesa umat Baginda berjuang menundukkan nafsu. Tidak dinafikan, usaha melawan hawa nafsu bukan sesuatu yang mudah dilakukan, sebaliknya menuntut seseorang itu bermujahadah dan tidak melengah-lengahkan menanganinya.

Apabila dikatakan manusia itu hebat dalam mendidik nafsunya, ia merujuk kepada usaha berterusan menjaga dan mengawal segala nikmat anggota badan, serta pancaindera yang dikurniakan oleh Allah SWT.

Nafsu mempunyai dua sifat iaitu membawa kebaikan (mahmudah) dan pada masa sama boleh mendorong melakukan keburukan (mazmumah). Kedua-dua jenis nafsu itu saling menguasai diri seseorang.

Jika mahmudah yang lebih kuat, maka banyak kebaikan yang dilakukan. Jika mazmumah yang lebih berkuasa, maka terjelmalah lebih banyak keburukan dan derhaka.

Lazimkan diri melakukan kebaikan biarpun kecil kerana itu akan mendidik diri menghampiri kebaikan yang lebih besar. Sebaliknya, jauhkan amalan keburukan biarpun kecil kerana kebiasaan melakukan dosa akan memudahkan diri melakukan dosa lain.

Sebaik-baik cara untuk mencegah diri berterusan melakukan dosa adalah dengan bertaubat untuk membersihkan diri. Hati yang suci lebih terdorong melakukan kebaikan dan berterusan melakukannya sehingga menjadi satu amalan yang tidak sukar lagi untuk dilakukan. 

Nafsu seperti keinginan makan, seksual dan emosi akan membawa kepada cita-cita dan keinginan untuk mencapai matlamat hidupnya serta seharusnya mendorong agar berusaha bersungguh-sungguh dalam melakukan pekerjaan.

Namun nafsu perlu dikendalikan dan dikawal bukan dituruti sepenuhnya seperti binatang yang tidak mampu mengendalikan nafsu.

Ia perlu diguna dan dikawal bagi tujuan betul dan baik. Semua nafsu dalam diri secara fitrah ini jika dijaga dan ditadbir dengan sifat sabar, iltizam dan istiqamah, bakal melahirkan manusia berakhlak mulia.

Ulama sejak dahulu menyebut perkara yang membezakan keistimewaan manusia dengan makhluk lain adalah sifatnya yang berakal. Manusia berakal akan mengenal diri dan sentiasa meletakkan sesuatu perkara di tempat betul dan adil. Mereka tidak akan mudah terpesong dan tidak akan terjerumus ke lembah ekstremisme dalam apa juga perkara.

Sebaliknya jika potensi itu tidak digunakan, mereka akan mendapat penghinaan dan status yang tidak bernilai di hadapan Allah SWT.

Antara akibat kelalaian manusia adalah mereka diumpamakan Allah SWT sebagai serupa dengan binatang atau makhluk lain yang lebih rendah.

Firman Allah SWT: "Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi neraka Jahanam) kebanyakan daripada jin dan manusia; mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakan untuk memahami (ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakan untuk melihat (tanda kekuasaan Allah) dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakan untuk mendengar (ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan lebih sesat lagi. Mereka itulah orang yang lalai. (Surah Al-A'raaf, ayat 179)

Gambar hiasan: Jeti Kuala Besar, Kota Bharu. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan