Umat Islam perlu memikirkan apakah tindakan
yang perlu dilakukan dan muhasabah diri apakah yang telah dilakukan. Kelemahan
dan kecelaruan Islam bukan disebabkan usaha bukan Islam, sebaliknya kelemahan
umat Islam sendiri. Usaha memperkasakan Islam tidak perlu tunggu kuasa politik. Setiap individu ada kemampuan dan peranan masing-masing.
Sikap mementingkan kelompok, berselisish
dalam soal kecil, hilang jati diri dan lemahnya takwa menjadi punca Islam
berdepan situasi sekarang. Islam di Malaysia tidak akan lemah jika seluruh
umatnya bersatu dalam soal kepentingan Islam. Jangan tunduk dan melakukan
perbuatan yang boleh menyebabkan kesatuan Islam lemah.
Namun persaudaraan dalam Islam sekadar
slogan. Orang Islam berpecah dan lemah kerana ingin berebut kepentingan
sendiri. Kelemahan sendiri tidak diaudit, sebaliknya kelemahan orang lain yang
diperbesar-besarkan.
Akibatnya umat Islam dalam keadaan lemah
dan berpecah. Mudahlah pihak bukan Islam mengambil kesempatan. Maka itu,
pendokong LGBT, sekular, liberal dan missionari Kristian budah menjalankan
agenda mereka. Dalam keadaan umat Islam sendiri lemah, apa yang mampu dilakukan
untuk mempertahankan Islam.
Ideologi dan agenda Islam bukan sekadar
menanti kuasa politik untuk melaksanakannya walaupun tidak dinafikan kuasa
politik amat penting. Mengapa di pihak bukan Islam boleh mara ke hadapan
sedangkan mereka tidak mendapat kedudukan istimewaan dalam Perlembagaan
Persekutuan bahkan terdapat sekatan untuk mereka mengembangkan agama mereka
kepada orang Islam.
Lalu kita perlu muhasabah diri. Pernahkah
kita betul-betul berjuang untuk Islam? Atau adakah kita berjuang atas nama
parti dan pemimpin tertentu? Apabila pemimpin telah meninggal dunia atau
bertukar parti, lalu kita tidak lagi bersama parti yang didokong selama ini
untuk memperjuangkan Islam.
Atau jika bertukar parti atau mengikut
pemimpin tertentu kerana memperjuangkan Islam, adakah kita sedar keupayaan
parti atau pemimpin itu berjuang untuk Islam? Atau adakah perjuangan selama ini
semata-mata untuk kedudukan dan harta?
Sekali lagi ditegaskan, kita tidak boleh
marah atau bertindak kertelaluan untuk mengelak fahaman pihak lain. Setiap
pergerakan dan agama memiliki ideologi dan agenda mereka yang tersendiri dan
cuba mengamalkan serta menyebarkan ideologi pergerakan dan agama mereka.
Memang ada halangan dari segi Perlembagaan
untuk penganut agama lain menyebarkan ideologi mereka. Namun, umat Islam tidak
boleh sekadar mengharapkan kedudukan istimewa itu. Disebabkan peruntukan
Perlembagaan itu majoriti Muslim masih berada di zon selesa mengharapkan
undang-undang untuk melindungi akidah mereka.
Agenda Islam yang paling utama adalah
tauhid dan bukannya sekadar hukum-hakam semata-mata. Keadilan untuk semua tanpa
mengira bangsa dan agama, amanah dan keamanan adalah nilai Islam.
Kita perlu lebih risau Muslim yang
membentuk 61% penduduk di Malaysia masih berada di zon selesa dan beralasan.
Malah, pernahkah kita mengaudit kekuatan pegangan akidah di kalangan Islam di
Malaysia dalam kesediaan untuk mempertahankan Islam.
Apa yang kita lihat sekarang ini
nilai-nilai sebagai seorang muslim semakin terhakis. Ramai hari ini muslim
hanya pada nama sahaja dan gagal untuk mengamalkan kehidupan sebagai
muslim.
Marilah kita sama-sama bermuhasabah diri
dan semoga hati kita semua tergerak untuk sama-sama menyumbang baik menerusi
masa, tenaga, bakat dan harta untuk menyebarkan ideologi dan agenda Islam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan