Berdepan situasi lupa adalah perkara biasa
dihadapi golongan tua. Itu hakikat yang perlu diterima. Walaupun sindrom lupa
juga dihadapi golongan muda, tetapi tidak sekerap atau seteruk dialami golongan
tua.
Petang tadi ambo menghadiri majlis
persaraan seorang pejawat awam yang pernah satu sekolah ketika di Sekolah Menengah
Ismail Petra (SMIP) tahun 1983-84. Ambo menumpang kereta saing untuk pergi ke
tempat kenduri keyukuran tersebut.
Ketika perjalan pergi, topik perbualan
lebih tertumpu kepada hal kesesakan lalu lintas yang terpaksa ditempuh dan
perkara-perkara lain,
Masa perjalanan pulang pula, selepas makan
gulai kambing dan kuih apam balik, kami mengimbau kenangan ketika bersekolah
dahulu. Maka tersebutlah tentang siapa olahragawan dan olahragawati.
Siapa olahragawan memang diingati kerana
dia turut hadir pada majlis tersebut. Tentang olahragawati pula tidak pasti
antara dua. Satu nama memang diingati dengan jelas, tetapi seorang lagi tidak
dapat disebut namanya.
Bukan tidak ingat tentang dia, bahkan boleh
disebut di mana dia tinggal sekarang dan bertugas sebagai apa. Bahkan, boleh sebut
nama samaran dia Facebook. Gambaran wajahnya ketika 40 tahun lalu juga
tergambar dengan jelas. Yang tidak dapat disebut ialah namanya.
Bukan ambo sahaja tidak dapat mengingati
atau menyebut namanya, tetapi juga dua rakan yang bersama-sama ambo.
Bukan soal penting untuk
menyebut namanya, tetapi untuk digambarkan bahawa itulah hakikat yang perlu
diterima apabila telah tua. Semakin cuba ingin mengingati, semakin jauh daripada
mendapat jawapannya.
Jadi, kalau lupakan sesuatu, tidak perlu
memerah otak untuk mengingatinya. Biarkan dan anggaplah ia tidak penting. Kalau
dipaksa juga boleh menyebabkan sakit otak.
Lalu, kami tidak lagi memikirkan tentang
nama olahragawati itu. Kami terus bercakap tentang perkara lain. Kalau tiba-tiba
teringat namanya, itulah yang dinamakan hakikat yang dinamakan lupa ingat.
Apabila tiba di tempat ambo tinggalkan kereta,
itu tandanya kami akan berpisah. Setelah bersalam dan mengucapkan terima kasih
kerana sudi menumpangkan ambo, terus membuka pintu dan melangkah keluar.
Tiba-tiba, nama olahragawati itu terus
menerjah fikiran biarpun bukan ketika memikirkannya. Lalu, ambo mengetuk
kembali cermin kereta dan apabila cermin diturunkan, ambo beritahu nama olahragawati
itu. Lalu, kawan ambo kata betul dan kami ketawa sambil ambo meninggalkannya.
Itulah sekilas tentang ingatan seorang yang
sudah tua. Jangan dipaksa berfikir atau cuba mengingati sesuatu secara ‘tertekan’,
sebaliknya biarkan kenangan atau ingatan itu kembali di paparan fikiran.
Balik ke rumah, ambo makan tujuh biji
kismis untuk mengingati peristiwa untuk ditulis ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan