Sabtu, 4 Mac 2017

KHASIAT DAUN RERAMA

Daun rama-rama atau rerama kaya khasiat. Khasiat daun rama-rama dipercayai berkesan merawat kanser. Nama saintifik daun rama-rama ialah Mariposa Christia Vespertillonis. Dipercayai berasal Rantau Asia.

Pokok rama-rama boleh mencapai ketinggian 1.5 hingga 2 kaki dalam masa empat bulan bermula dari benih. Daun yang sudah matang boleh dibuat ubat setelah mencapai tempoh empat bulan. Jika pokok dibiarkan selama setahun dan tidak dipotong, boleh capai ketinggian hingga 5-6 kaki. 

Ujian makmal Institut Bioteknologi Melaka menunjukkan daun rerama mengandungi tiga belas sebatian kimia yang digunakan untuk menghasilkan pelbagai jenis ubat-ubatan.

Kajian saintifik penyelidik Jabatan Sains Bioperubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM turut berjaya menemui ciri-ciri anti kanser dan anti keradangan pada tumbuhan berkenaan. 

Kenyataan dikeluarkan April 2016:

Umum mengetahui barah antara penyakit yang sukar diubati, dan untuk sekian lamanya pelbagai penyelidikan dilakukan banyak pihak untuk mencari dan menghasilkan ubat serta kaedah perubatan terhadap penyakit yang boleh membawa maut ini.

Usaha berterusan para penyelidik mungkin akan dapat merintis jalan menemui ramuan atau ubat yang berkesan untuk menangani penyakit yang digeruni itu. Kajian awal oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) terhadap tumbuhan yang dikenali sebagai ‘daun rerama’ atau Red Butterfly Wing, atau nama saintifiknya Christiavespertilionis ini, mendapati ia menunjukkan ciri-ciri anti barah dan anti keradangan. 

Justeru, UPM akan menjalankan penyelidikan selanjutnya dengan menjalankan saringan dan ujian pra-klinikal peringkat kedua terhadap daun rerama.

Pensyarah dan penyelidik Jabatan Sains Bioperubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM, Prof Madya Dr Latifah Saiful Yazan berkata kajian peringkat kedua ini akan dijalankan terhadap haiwan (in vivo).

“Dalam kajian itu nanti, sel barah payudara akan disuntik ke dalam tikus, dan kemudian ia akan dirawat dengan ekstrak daun rerama,” katanya dalam temu bual. 

Tanaman daun rerama ini diusahakan Encik Khamarul Rezan Lim Abdullah, 58, yang dikatakan bukan sahaja berkesan merawat barah tetapi juga berupaya mengubati penyakit SLE, denggi, angin ahmar, darah tinggi, kencing manis, masalah usus (seperti gastrik, sembelit dan cirit birit), asma, migrain, resdung dan demam campak.

Dr Latifah berkata kajian peringkat kedua itu akan menggunakan sebahagian daripada Enterprise Innovation Fund (EIF) sebanyak RM300,000 yang diperuntukkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi(MOSTI). 

Untuk kajian tersebut, Encik Khamarul Rezan akan membekalkan daun rerama itu. Beliau sudah mula menanam semula pokok berkenaan, yang akan matang dalam tempoh tiga bulan sebelum daunnya boleh diambil untuk kajian. 

Selain untuk penanaman semula pokok, dana tersebut juga digunakan untuk pembelian beberapa peralatan seperti mesin pengering, mesin penghancur dan mesin pembungkus, serta untuk penjenamaan produk. 

Menurutnya, saringan pertama yang dilakukan pada 2103 secara in vitro, menggunakan ekstrak daun rerama terhadap enam jujukan sel barah yang sukar dirawat termasuk barah payudara, peparu, usus besar, serviks dan ovari, mendapati sel yang paling sensitif ialah sel kanser barah payudara.

Katanya, saringan kedua ini juga akan meneliti profil kimia daun rerama. Dr Latifah berkata, setakat ini sebagaimana yang dimaklumkan kepadanya oleh Encik Khamarul Rezan, secara umumnya ekstrak daun rerama ini tidak mendatangkan kesan sampingan kepada penggunanya. 

Kaedah rawatan yang digunakan ialah meminum rebusan air daun rerama ini, sebagaimana konsep merendam dan meminum air teh. 

Menurutnya, daun rerama ini terdapat dalam pelbagai warna tetapi yang digunakan untuk penyelidikan bagi tujuan perubatan ialah daun rerama yang berwarna hijau. Pokok ini boleh mencapai ketinggian kira-kira dua meter, dan bagi mempercepatkan percambahan, pucuknya harus selalu digunting, katanya. - UPM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan