Jumaat, 15 Januari 2021

KUASA MENENTUKAN SOP MASJID BAWAH NEGERI

 

Rakyat di negeri boleh mengusulkan atau mengemukakan sebarang persoalan berkaitan urusan agama kepada pihak berkuasa agama di negeri masing-masing. Hal ini termasuk dalam soal pengurusan masjid dan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang tempoh wabak Covid-19 ini.

Kaedah ini selaras dengan Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan urusan berkaitan hal ehwal Islam berada di bawah naungan raja bagi negeri masing-masing. Bagi negeri-negeri tanpa raja, bidang berkaitan agama di negeri berkenaan terletak di bawah bidang kuasa Yang Dipertuan Agong.

Perkara ini sudah berulang kali dijelaskan Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media harian mengenai Covid-19 sebelum ini.

Malang sekali, masih banyak yang tidak memahami mengenai perkara ini sehingga menuduh atau mempertikaikan pembukaan masjid dan SOP berkaitan kononnya di bawah bidang kuasa kerajaan Pusat.

Terbaharu, Ismail Sabri berkata, pihaknya menerima banyak persoalan dan kiriman video mempertikaikan berkaitan pembukaan masjid termasuk daripada penceramah yang menyalahkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkenaan SOP ketat aktiviti di masjid.

"Saya ingin tegaskan segala urusan berkaitan hal ehwal Islam berada di bawah naungan raja-raja setiap negeri.

"Contoh, sekiranya masjid dibuka untuk lima orang sahaja maka keputusan itu adalah di bawah perkenan Sultan negeri berkenaan," katanya pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini.

Satu perkara yang perlu difahami rakyat, kerajaan Pusat melalui kementerian berkaitan boleh mengusulkan cadangan melalui Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia untuk penelitian Pihak Berkuasa Agama Negeri namun keputusan akhir adalah sepenuhnya hak mutlak dan bidang kuasa negeri di bawah naungan raja- raja bagi setiap negeri.

Sebarang SOP adalah hasil resolusi jawatan kuasa muzakarah yang dianggotai Mufti-Mufti seluruh Malaysia selaku pihak berkuasa agama negeri dan Ahli-Ahli Dilantik Majlis Raja-Raja sebagai satu panduan bersama sebelum dipertimbangkan dan diputuskan oleh pihak berkuasa agama negeri masing-masing. 

Pandangan dan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara juga diutamakan atas faktor kepakaran dan maklumat yang terperinci berkaitan isu-isu kesihatan dan keselamatan.

Sebagaimana amalan kebiasaan, resolusi muzakarah akan dibawa sebagai sembah maklum kepada Yang Dipertuan Agong dan Majlis Raja-Raja sebagai satu pandangan dan nasihat untuk dipertimbangkan dan diputuskan oleh pihak berkuasa agama negeri. 

Dengan kata lain, pembukaan dan SOP masjid tertakluk kepada kuasa Pihak Berkuasa Agama Negeri selepas mendapat perkenan raja setiap negeri. Sebab itu, setiap negeri mempunyai SOP berbeza berkaitan operasi masjid, surau dan madrasah sepanjang pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, perbezaan itu tidak ketara kerana pada asasnya ia berdasarkan perbincangan bersama peringkat Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia.

Jadi, sekiranya ada sebarang pertikaian dan cadangan berkaitan SOP masjid perlu dikemukakan terus kepada pihak berkuasa agama negeri.

Pada masa sama, sesiapa mempertikaikan SOP masjid tanpa usul periksa atau membabi buta sebenarnya mempertikaikan kuasa raja di negeri masing-masing.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan