Puasa Ramadan Rukun Islam perlu dilaksanakan setiap orang Islam yang cukup syaratnya. Namun, ada yang melakukan puasa Ramadan lebih kepada amalan ritual atau hanya mengikut adat atau kebiasaan yang diamalkan dalam masyarakat.
Ramadan, bulan kesembilan dalam kalender Hijrah mempunyai pengertian besar kepada seluruh umat Islam. Namun, ketibaan Ramadan disambut dari sudut pandangan berbeza-beza mengikut tahap keimanan seseorang.
Orang mempunyai keimanan teguh melakukan ibadat puasa dengan penuh ketakwaan dan menghayati sepenuhnya setiap ibadat dilakukan.
Bagi golongan ini ketibaan Ramadan adalah rahmat yang tiada tandingannya berbanding bulan-bulan lain. Mereka tidak sabar menanti setiap kali kehadiran Ramadan.
Persiapan mental dan fizikal dilakukan bagi memastikan bulan Ramadan dipenuhkan dengan amalan yang diganjari pahala yang berlipat kali ganda.
Manakala bagi orang Islam kebanyakan, Ramadan disambut lebih bersifat kepada satu amalan yang bersifat ‘kebiasaan’ dalam agama atau dipanggil ritual.
Mengikut Kamus Dewan, perkataan ritual bermaksud tatacara dalam upacara keagamaan, adat dan sebagainya.
Amalan ritual lahir dari satu kebiasaan yang dilakukan dalam masyarakat yang diamalkan dari satu generasi ke generasi.
Seseorang terdorong melakukan amalan ritual disebabkan ia sudah diterima sebagai sebahagian daripada kehidupan. Amalan yang dilakukan berdasarkan sebab orang lain dalam masyarakat melakukan. Jadi, tidak kena dan tidak molek jika tidak turut melakukannya.
Dengan kata lain, ibadat puasa yang dilakukan atas dasar ritual bukan lahir daripada keimanan, sebaliknya lebih bersifat terikut-ikut dan rasa bangga dapat melakukannya. Oleh itu ramai orang tidak memahami tujuan sebenar puasa seperti diwajibkan dalam agama.
Amalan ritual tidak mementingkan kualiti dalaman diri, sebaliknya sekadar memenuhi tuntutan masyarakat. Apabila yang dilakukan oleh kebanyakan ahli masyarakat, maka ia turut dilakukan.
Mereka tidak mahu ketinggalan atau dikatakan tidak memahami ritual. Malah, mereka berasa sebagai satu tanggungjawab untuk melakukannya.
Disebabkan puasa dilakukan atas konsep ritual, maka kita dapat melihat berbagai-bagai ragam orang berpuasa.
Amalan diasaskan kepada ritual biasanya kelihatan hebat secara luaran. Ia dilakukan secara bersungguh-sungguh, tetapi tanpa penghayatan rasa keimanan.
Malah, yang melakukan ritual nampak lebih hebat berbanding orang yang melakukan puasa kerana mencari keredaan Allah SWT.
Hal ini tidak menghairankan kerana yang berbentuk ritual itu perlu ditunjukkan kepada orang ramai, sedangkan puasa kerana keimanan dilakukan semata-mata kerana Allah SWT yang Maha Mengetaui setiap apa yang dilakukan oleh hamba-Nya. Sesungguhnya setiap amalan bergantung kepada niat.
Kita melihat orang menyambut kedatangan Ramadan dengan meriah. Pada bulan Ramadan rata-rata wanita berpakaian menutup aurat, ramai orang menghadiri sembahyang jemaah lima waktu dan tarawih, tadarus al-Quran dan bersedekah.
Fenomena wanita menutup aurat amat ketara pada bulan Ramadan. Fesyen menutup aurat menjadi pilihan terutama di kalangan wanita bekerja.
Hal ini banyak didorong oleh perasaan ‘malu’ jika tidak menutup aurat pada bulan Ramadan. Malah meraka berasa 'bersalah' jika tidak menutup aurat sedangkan cara ritualnya orang lain menutup aurat.
Sekiranya ramai memuji berpakaian seksi pada bulan-bulan lain, sebaliknya seseorang wanita akan dikeji jika memakainya pada bulan Ramadan. Jadi langkah terbaik ikut keadaan semasa dengan berpakaian sopan dan menutup aurat.
Maka, tidak hairanlah jika sebaik selepas bulan Ramadan, keadaan kembali seperti biasa. Semua lakonan pada bulan Ramadan semata-mata satu ritual dan mengikut keperluan semasa. Sesuatu yang bersifat ritual akan berlaku hanya yang berkaitan ritual berkenaan.
Majlis berbuka puasa diadakan di sana sini sama ada anjuran jawatankuasa masjid, jabatan kerajaan, pihak swasta, persatuan, parti politik atau orang perseorangan.
Bagi penganjur yang berkemampuan, majlis berbuka puasa diadakan di hotel besar. Soal perbelanjaan besar tidak dikira asalkan kelihatan hebat dan meriah.
Dalam ghairah mengadakan majlis berbuka puasa yang hebat di hotel besar, tidak pula difikirkan tentang kemudahan menunaikan fardu Maghrib. Biasanya tetamu mencecah ratusan orang, tetapi bilik sembahyang di hotel sekadar mampu menampung kira-kira 10 hingga 20 orang jemaah pada satu-satu masa.
Hal ini disebabkan majlis berbuka puasa yang diadakan bukan atas dasar mentaati perintah Allah SWT, sebaliknya satu ritual yang mendatangkan kemegahan.
Penganjur lebih mementingkan kemeriahan majlis berbuka dan bukannya memikirkan keperluan lain yang wajib dilaksanakan.
Disebabkan segala amalan dilakukan pada bulan Ramadan lebih mirip sebagai ritual, maka ia akan tamat sebaik tamatnya Ramadan. Bahkan, dalam soal sembahyang tarawih bilangan jemaahnya berkurangan setiap hari apabila menghampiri akhir Ramadan.
Apabila hari semakin menghampiri Aidilfitri, lebih ramai memberi tumpuan kepada persiapan sambutan hari raya. Tumpuan kepada ibadat puasa semakin disisihkan dan tidak sabar-sabar untuk menyambut Aidilfitri.
Ritual untuk menyambut Aidilfitri itu lebih besar dan meriah. Persiapan menghadapinya perlu kepada tumpuan yang lebih dan melibatkan perbelanjaan lebih besar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan