Amalan biasa dilakukan umat Islam di Malaysia pada Hari Raya Aidilfitri ialah menziarah kubur ahli keluarga mereka. Sesetengah tanah perkuburan berubah menjadi seperti kawasan perayaan yang dipenuhi sanak saudara.
Mereka ke kubur dibawa bersama surah Yasin, lalu dibacakan. Mereka turut mendoakan kebaikan dan keampunan untuk arwah.
Hakikatnya, kawasan perkuburan bukan tempat membaca al-Quran atau beribadat. Bagi kaum keluarga, khususnya anak arwah yang ingin mensedekah pahala dan berdoa, ia boleh dilakukan di mana-mana saja dan bila-bila masa saja.
Anak soleh sentiasa mendoakan kesejahteraan ibu bapanya yang masih hidup maupun telah meninggal dunia.
Tidak ada hari dan tempat dikhususkan untuk berdoa kepada ibu bapa yang telah meninggal dunia. Bahkan, setiap perbuatan baik yang dilakukan oleh anak akan mengalir pahalanya kepada ibu bapa.
Tambahan pula apa yang disunatkan untuk kita lakukan ketika menziarah kubur hanyalah mendoakan kesejahteraan 'penghuni' kawasan perkuburan itu dan bukannya membaca Yasin.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Salam sejahtera hai penghuni kubur mukminin dan muslimin dan insya-Allah kami akan menyusulmu. Aku mohon keselamatan kepada Allah bagi kami dan kalian." (Hadis riwayat Muslim).
Sesungguhnya kubur dan rumah mempunyai perbezaan yang ketara antara keduanya biarpun kedua-duanya ada penghuni. Sebab itu Rasulullah SAW menegaskan agar rumah tidak dijadikan seperti kubur.
Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Janganlah kamu jadikan rumah kamu itu sebagai kuburan. Sesungguhnya syaitan itu lari dari rumah yang dibacakan di dalamnya surah al-Baqarah." (Hadis riwayat Muslim)
Jelas kali, Rasulullah SAW menggalakkan kita melakukan ibadat seperti membaca al-Quran dan solat di rumah. Ia lebih selesa dan boleh dilakukan pada bila-bila masa.
Ironinya, kawasan kubur pula tidak bolehlah disamakan dengan rumah untuk dijadikan tempat beribadat.
Rasulullah SAW bersabda: "Janganlah kamu jadikan rumah-rumah kamu itu sebagai kuburan dan janganlah kamu jadikan kuburku tempat perayaan." (Hadis riwayat Abu Daud).
Dari Abi Hurairah berkata: Telah bersabda Rasulullah: "Janganlah jadikan kuburku sebagai tempat berhari raya” (Hadis riwayat Ahmad 2/367)
Maka tidak sepatutnya mengkhususkan Aidilfitri sebagai hari berkumpulnya manusia di kawasan perkuburan kerana ia menggambarkan seolah-olah kuburan dijadikan kawasan perayaan.
Raikan Syawal dengan amalan kunjung mengunjung sesama manusia yang masih hidup. Jika ingin melawat kubur, lebih baik ia dilakukan pada waktu lain yang lebih sesuai dan tidak menjadikan ia sebagai satu ritual yang ditakuti akan dilihat oleh pihak lain seperti meniru ajaran agama mereka.
Memang telah wujud tanggapan penganut agama lain berdasarkan pemerhatian mereka, mengatakan salah satu acara sambutan Aidilfitri ialah menziarah kubur dan ternyata perbuatan itu menyamai dengan apa yang mereka lakukan.
Perbezannya hanya dari segi amalan di kubur yang mana orang Islam membaca Yasin, sedangkan orang bukan Islam membaca mentera dan perbuatan untuk 'berhubung' dengan si mati.
Contohnya, orang Cina biasanya melawat ke kubur nenek moyang pada hari qingming untuk memperingatkan jasa dan memberi hormat kepada mereka yang sudah meninggal dunia. Hari melawat ke kubur boleh dijalankan dalam tempoh 2 minggu sebelum dan selepas hari qingming.
Pada hari melawat ke kubur yang telah ditetapkan, seisi keluarga akan pergi bersama-sama dengan membawa cangkul, penyapu lidi, cat merah dan berus kecil, mercun, nenas, telur itik rebus dan makanan serta minuman yang disukai oleh si mati.
Sebaik sahaja sampai ke kubur nenek moyang, lalang yang tumbuh pada kubur mesti dicangkul dan dibersihkan. Selepas itu, perkataan yang terukir pada batu nisan dicat semula jika sudah luntur warnanya.
Seharusnya orang Islam perlu lebih memahami setiap amalan yang berkaitan dengan agama dan bukannya sekadar meniru tanpa memahami apa yang dilakukan.
Jangan jadikan adat sebagai ibadat, walaupan dalam adat tidak dinafikan ada nilai-nilai kebaikan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan