Ahad, 5 Januari 2020

NASIB MALANG IBU TUNGGAL

Banyak isteri menjadi ibu tunggal disebabkan kematian suami. Isteri juga mendapat status ibu tunggal biarpun masih bersuami apabila terpaksa mengambilalih tugas menanggung keluarga apabila suami hilang upaya melakukan pekerjaan disebabkan penyakit atau ditahan dipenjara.

Keadaan ini amat memeritkan terpaksa melakukan tugas mencari rezeki, sedangkan pada masa yang sama tepaksa menjaga suami yang sedang sakit. Dalam banyak kes, mereka juga terpaksa menjaga ibu bapa yang uzur.

Kemampuan wanita menguasi pelbagai kemahiran hasil pendidikan yang terbuka tanpa membezakan jantina perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk terlibat dalam bidang ekonomi. 

Sekarang, peluang pekerjaan ditawarkan sama rata. Majikan tidak membezakan antara lelaki dan wanita, asalkan mereka dapat menghasilkan produktiviti yang baik.

Wanita di Malaysia bernasib baik kerana kerajaan sentiasa prihatin membela nasib mereka. Kerajaan sentiasa merangka strategi memartabatkan wanita. 

Antara perkara ditekankan kerajaan ialah penghapusan semua jenis diskriminasi terhadap wanita, meningkatkan penyertaan wanita dalam pasaran kerja, menambah bilangan wanita pada peringkat pembuat dasar dan menyediakan program sokongan termasuk ibu tunggal.

Malah peluang pendidikan tinggi awam di Malaysia kini dimonopoli oleh wanita apabila bilangan mereka kini mencecah 68 peratus. Ini bukti nyata kerajaan tidak mendiskriminasi kaum wanita.

Wanita yang berkelulusan tinggi dan mempunyai peluang menjawat pekerjaan yang baik dengan pendapatan tinggi tentu tidak melepaskan peluang untuk bekerja.

Sesuai dengan kelulusan dan kemahiran, semakin ramai wanita kini menyertai bidang profesional seperti kedoktoran, kejuruteraan, komunikasi, perakaunan, perundangan dan perbankan. 

Penat lelah belajar dan perbelanjaan yang telah dikeluarkan untuk belajar tidak akan dibiarkan tanpa digantikan dengan pendapatan yang baik melalui pekerjaan. Selain itu mereka perlu membayar pinjaman pendidikan yang berjumlah puluhan ribu ringgit.

Malah ramai wanita yang sebenarnya ‘terdesak’ perlu memiliki pekerjaan. Wanita dari keluarga miskin mempunyai impian untuk membantu keluarganya. 

Banyak kakak yang terpaksa berkorban demi adik-adik tersayang. Wanita dari bandar sanggup merantau ke bandar dan menghadapi segala dugaan hidup yang asing bagi mereka semata-mata demi untuk membantu keluarga. 

Sekiranya wanita dihalang bekerja, sudah pasti banyak keluarga menghadapi masalah. Negara juga akan berdepan dengan masalah kekurangan tenaga kerja yang akan menyebabkan masalah ekonomi.    

Hakikatnya kini, banyak wanita bekerja menjadi tunggak kewangan untuk keluarga. Bermakna jika wanita tidak bekerja dalam keluarga berkenaan, tunggak kewangan keluarga akan runtuh dan segala berkaitan kewangan akan menghadapi masalah besar.

Namun bagi seorang isteri, kebenaran bekerja terletak di tangan suami. Sekiranya suami tidak membenarkan, atas dasar kebaikan rumahtangga elok dibincangkan dengan mendalam. Mungkin lebih baik isteri tidak bekerja kerana faktor-faktor tertentu. Bagaimanapun, banyak kebaikan lain mungkin diperoleh jika isteri bekerja. 

Wanita bekerja perlu memahami batas-batas antara pekerjaan dan kepentingan rumahtangga. Dalam apa keadaan sekalipun, kepentingan rumahtangga perlu diutamakan. Tugas mendidik anak dan mengurus rumahtangga merupakan tugas hakiki sebagai isteri dan ibu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan