Sabtu, 8 April 2023

ROH PERJUANGAN SAHABAT BTN TERUS HIDUP

  
Roh perjuangan Sahabat BTN terus hidup. Hubungan sesama bekas Tenaga Penggerak (TP) Biro Tatanegara (BTN) masih bertaut biarpun tidak lagi dalam bentuk penugasan. 

BTN dijenamakan semula dengan nama dan aktiviti yang tidak seperti sebelumnya selepas PRU-14.
 
BTN sebelum PRU-14 berada di bawah Jabatan Perdana Menteri. Namun selepas PRU-14 dijenamakan semula sebagai Program Sekolah Kepemimpinan Masa Depan Malaysia (MFLS) dan diletakkan di bawah Kementerian Belia dan Sukan (tidak pasti apa pula nama sekarang ini).
 
Penjenamaan semua itu turut melibatkan kami sebagai TP tidak diperlukan lagi. TP bukan staf tetap mahupun kontrak. TP hanya bertugas apabila dipanggil atau dijemput untuk bertugas mengikut bidang kepakaran masing-masing ketika BTN mengadakan kursus, seminar dan sebagainya.
 
Bidang tugas TP merangkumi sebagai penceramah, pengkuliah agama, jurulatih fizikal dan fasilitator.   
 
Biarpun hanya bertugas bersama mungkin hanya sekali sebulan, namun hubungan antara TP amat rapat. Satu kepala dan sehati sejiwa. TP akan ke mana sahaja lokasi bertugas dan melaksanakan apa sahaja tugasan yang termampu. 

Bertugas tidak kira siang malam. Bukit, lurah, sungai, hutan, laut dan daratan kami berganding bersama.
 
Sikap kebersamaan dan keikhlasan menjadi faktor kepada semangat setia kawan yang tinggi. Biarpun usia dan dari latar belakang kerjaya yang berbeza, semangat persahabatan amat tinggi.
 
Bahkan, atas nama Sahabat BTN, biarpun tidak pernah bertugas bersama, terutama dari negeri lain, rasa persahabatan itu mengalir dalam denyut nadi hubungan.
 
Prinsipnya mudah. Sesiapa yang didaftarkan sebagai TP BTN, maka dia adalah Sahabat BTN biarpun tidak mengenali antara satu sama lain.
 
Sebab itu, roh BTN terus segar dalam jiwa Sahabat BTN biarpun jasad BTN telah terkubur.  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan