Jumaat, 14 April 2023

MAKAN COLEK ERATKAN HUBUNGAN

 
Di Kelantan satu kebiasaan pada malam Ramadan ialah program atau aktiviti makan colek. Colek ialah sambal cair dibuat daripada campuran cuka, lada, garam, nise dan gula untuk dimakan bersama keropok, daging ayam, popia, buah-buahan dan hasil laut. Aktiviti ini dilakukan di kedai atau restoran selepas solat tarawih.
 
Aktiviti makan colek bukan semata-mata bertujuan untuk makan colek, tetapi ia juga satu ruang masa untuk keluarga, sahabat, ahli parti, ahli persatuan, rakan sekerja dan sebagainya dapat bersama pada bulan Ramadan.
 
Ia menjadi medan untuk mengeratkan hubungan dan rehat melepaskan tekanan seharian bekerja.
 
Seperti sedia maklum, pada waktu siang pada bulan lain, aktiviti “mengeteh” atau “mengopi” boleh dilakukan, tetapi tidak pada bulan Ramadan. Jadi, sebagai gantinya ia dibuat program makan colek.
 
Biarpun ada aktiviti berbuka puasa bersama, banyak orang lebih suka untuk bersama makan colek kerana masanya lebih panjang dan santai, berbanding majlis berbuka puasa yang singkat disebabkan masing-masing bergegas untuk bersembahyang Maghrib.
 
Aktiviti makan colek juga lebih ringkas dan tidak terikat dengan masa. Makan colek juga boleh dianggap menggantikan moreh dan makan lewat malam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan