Ahad, 26 Mei 2024

TIDAK SEKUAT DAHULU LAGI

 
Ambo (saya) sudah tua. Tidak mampu secergas dan sekuat dahulu lagi. Kalau buat tugasan atau aktiviti yang lasak, mudah cepat letih. Perlu segera berhenti dan berehat.
 
Gambar ini selepas ambo menggali tunggul pokok katak puru. Bukan lama pun. Hanya sekejap sahaja, sekadar menyambung kerja-kerja yang telah dilakukan beberapa kali sejak dua minggu lalu.
 
Maknanya, setiap kali dilakukan sekadar lima hingga 10 minit saja. Kemudian berhenti dan diteruskan pada masa lain. Kadang-kadang tu hanya tengok sahaja tanpa dibuat apa-apa biarpun asalnya ingin dicangkul dua tiga minit. Niat ada, tenaga atau keupayaan tiada.
 
Tunggul pokok katak puru tidaklah besar sangat. Sekadar sebesar paha sahaja. Namun, kayunya sangat keras dan ada akar di sekelilingnya, selain ada akar tunjang yang menegak ke bawah.
 
Disebabkan sedar kemampuan yang terhad ambo buat sedikit-sedikit mengikut kemampuan. Ada kalanya tertangguh beberapa hari. Tambah pula bila badan tidak sihat.
 
Hari ini, biarpun tidak sihat, digagahkan juga untuk menggali lubang biarpun sekadar dua tiga kali cangkul. Tetapi tidak sangka pula setelah kedalaman kira-kira 600 centimeter, keadaan tunggul telah bergoyang. Bergerak mengikut arah ditolak atau ditarik.
 
Melihatkan keadaan itu, timbul semangat pula untuk disiapkan pada hari ini juga. Itupun menggunakan gergaji elektrik untuk memotong akar di sekeliling dan akar tunjang. Dipusing dan dipulas, lalu tercabutlah tunggul tersebut.
 
Lega, tetapi memang penat. Hendak bergerak dari tempat tunggul itu ke kerusi yang terletak kira-kira 15 meter pun rasa tidak larat. Dengan sisa-sisa tenaga yang masih ada, alhamdulillah sempat sampai dan duduk. Rehat dan seketika kemudian kembali bertenaga. Alhamdulillah.

Firman Allah SWT bermaksud: “Allah yang menciptakan kamu bermula dengan keadaan lemah, selepas berkeadaan lemah itu Ia menjadikan kamu kuat. Setelah itu Ia menjadikan kamu lemah pula serta tua beruban. Ia menciptakan apa yang dikehendaki-Nya, dan Dia lah jua yang Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa. (Surah ar-Rum, ayat 54)

 

15 Mei 2024 - beberapa hari setelah bermula. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan