Saf
kanak-kanak perlu diasingkan dengan orang dewasa, dibimbangi sembahyang batal
jika sentuh kanak-kanak bawa najis (belum bersunat). Alasan perlu asingkan saf
kanak-kanak berdasarkan satu hadis.
“Rasulullah
SAW menjadikan saf orang dewasa di hadapan kanak-kanak, dan saf kanak-kanak di
belakang mereka sementara saf perempuan di belakang kanak-kanak.” (Hadis
riwayat Ahmad dan Abu Daud)
Syeikh
al-Albani menyatakan: “Sanad (rangkaian perawi) hadis ini
lemah. Terdapat seorang periwayat hadis yang lemah namanya Syahr bin Husyab.
Menjadikan
saf kanak-kanak di belakang saf dewasa aku tidak mendapati hadis yang lain
kecuali hadis ini sahaja dan ianya tidak boleh dijadikan hujah.
Aku
berpendapat tidak mengapa kanak-kanak bersolat sekali dengan saf dewasa
sekiranya terdapat kekosongan. Hadis Anas yang bersolat bersama seorang anak
yatim di belakang Rasulullah SAW menjadi hujah dalam masalah ini.” (Tamamul
Minnah, hlm. 284)
Antara
hujah yang digunakan juga ialah kanak-kanak itu menaggung najis yang sekiranya
bersolat bersama di dalam satu saf maka akan batallah satu saf tersebut.
Hujah
ini tidak dibina di atas dalil al-Quran dan sunnah. Bahkan Nabi SAW mendukung
cucunya ketika solat.
Imam
Ibn Rajab al-Hanbali menyatakan: “Hadis menunjukkan bersihnya pakaian
kanak-kanak, sekiranya dihukumkan najis sudah tentu Nabi tidak mendukungnya,
begitu juga yang dinaskan (disebut) oleh Imam Syafie dan selainnya.”
Kanak-kanak
bukan saja boleh duduk dalam satu saf dengan orang dewasa, bahkan boleh menjadi
iman.
Kanak-kanak
yang mempunyai kelebihan seperti mereka yang menghafal al-Quran dan bagus
bacaannya atau kanak-kanak yang dianugerahkan Allah akan ilmu dalam agama boleh
dikehadapankan daripada orang awam biasa. Sehingga boleh dilantik sebagai imam
walaupun belum mencapai usia baligh.
Imam
Khatib al-Syarbini menyatakan: “Sekiranya kanak-kanak lebih afdhal (baik)
daripada orang dewasa seperti mereka fasiq tetapi kanak-kanak itu dari kalangan
baik dan bagus maka kanak-kanak itu dikehadapankan daripada orang dewasa.
Pendapat ini disebutkan oleh al-Darimi. (Mughni al-Muhtaj, jilid 1, hlm. 492)
Persoalan
yang mungkin timbul ialah adakah sah solat yang diimami oleh kanak-kanak yang
belum baligh?
Di
dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari, Amr bin Salamah al-Jurmi
mengimami kaumnya sedangkan umurnya ketika itu enam atau tujuh tahun.
Nabi
SAW bersabda: “Yang mengimami mereka ialah yang paling baik bacaan
al-Qurannya.
Ketika
dibaca sabda Nabi ini, orang ramai melihat-lihat kiri dan kanan maka mereka
dapati tidak ada orang lain yang lebih baik bacaannya kecuali Amr bin Salamah
al-Jurmi, kemudian beliau mengimami solat kaumnya. Hadis ini dalil kepada
sahnya solat yang diimami oleh kanak-kanak yang belum baligh.
Membawa
kanak-kanak ke masjid dan diajar sembahyang bersama-sama dalam satu saf adalah
cara mendidik mereka. Bukan dengan mengasingkan mereka.
Nabi
SAW juga membawa anak kecil ke Masjid iaitu cucu baginda ketika bersolat. Malah Nabi SAW menjadi imam
solat ketika itu.
Abdullah
bin Syaddad meriwayatkan bahawa ayahnya berkata: ”Rasulullah menemui kami saat
hendak mengerjakan salah satu solat malam (iaitu maghrib atau isya) sambil
membawa Hasan atau Husain. Rasulullah ke hadapan dan meletakkan cucunya
tersebut lalu mengucapkan takbiratul-ihram dan memulai solat.
Di
tengah solat, beliau sujud cukup lama”. Ayahku berkata: ”Maka aku mengangkat
kepala, lalu nampaklah cucu beliau yang masih kecil itu sedang bermain di atas
belakang beliau, sedangkan beliau tetap sujud. Maka aku pun sujud kembali.
Setelah
selesai solat, para shahabat bertanya: ’Wahai Rasulullah, engkau sujud terlalu
lama di tengah-tengah solat tadi, sehingga kami mengira telah terjadi sesuatu,
atau engkau sedang menerima wahyu”.
Rasulullah
SAW bersabda: ”Semua dugaan kalian tidaklah terjadi. Akan tetapi cucuku ini
sedang naik ke belakangku seperti sedang menunggang kenderaan. Aku tidak ingin
memberhentikannya sampai dia benar-benar berhenti sendiri” (Hadis Riwayat Nasai
dalam Ash-Shughraa no. 1141; sahih).
Manakala
dari hadis yang lain dari Abi Qatadah Al-Anshary dia berkata: ”Aku melihat Nabi
sedang mengimami manusia dan Umamah binti Abil-’Ash – ia adalah anak dari
Zainab binti Nabi (digendong) di atas bahunya. Apabila beliau rukuk, maka
beliau meletakkannya, dan apabila beliau akan berdiri dari sujud, maka beliau
kembali (menggendongnya)” (Hadis riwayat Bukhari no. 494 dan Muslim no. 543;
ini lafaz Muslim).
Dua
hadis di atas adalah bukti bahawa saf kanak-kanak tidak diasingkan dari saf
orang dewasa bahkan cucu baginda berada di saf imam.
Tindakan
mengasingkan mereka adalah satu rampasan hak kanak-kanak tersebut yang juga
seorang muslim.
Selain
kanak-kanak menjadi trauma dan tertanam rasa dengki terhadap orang yang
mengusirnya, kanak-kanak yang dikumpulkan di satu tempat dibelakang juga boleh
menyebabkan mereka bermain-main dan berbuat bising dan perkara ini tidak
terjadi jika kanak-kanak di dalam barisan orang dewasa di bawah pengawasan
penjaganya.
Ibu
bapa yang membawa anak ke masjid dalam rangka mendidik adalah terbaik namun
dinasihatkan juga supaya mengawal anak-anak agar tidak menganggu jemaah yang
sedang bersolat dan beribadah.
Syaikh
Ibnu Utsaimin di dalam Fatawa Islamiyah 2/8 ada melarang ibu bapa dari membawa
anak-anak jika menganggu jemaah yang sedang menunaikan kewajipan bersolat.
Sebaik-baiknya bawalah anak-anak yang berusia tujuh tahun ke masjid sebagaimana
sabda Nabi SAW bermaksud: “Perintahlah anak-anak kamu bersolat pada usia 7
tahun. Pukullah mereka jika mereka meninggalkan solat pada usia 10 tahun dan
pisahkanlah tempat tidur mereka.” (Hadis Riwayat Ahmad, 11/369, no. 6756.
Dinilai hasan oleh an-Nawawi, al-Albani, dan Syu’aib al-Arnauth)
Tiada
larangan mutlak membawa anak di bawah umur 7 tahun cuma perlu dipastikan mereka
dijaga dan tidak menganggu jemaah melakukan ibadah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan