Belajarlah berfikir secara minda terbuka. Minda
yang terbuka dapat membezakan antara betul dan salah, mencipta kemajuan dan
bergerak ke arah lebih baik. Dengan cara itu juga mampu membudayakan pemikiran
yang kritis. Hidup masyarakat hari ini mesti lebih baik berbanding generasi
sebelum ini. Justeru, kita perlu lebih bijak mencipta sesuatu yang lebih
memberi kebaikan.
Orang yang berminda kecil sebenarnya kurang
menggunakan minda. Dia lebih kerap melakukan perkara rutin dan menerima apa
sahaja apa yang dikatakan orang lain. Mereka tidak mahu berfikir lebih daripada
itu dengan alasan tidak mahu ‘penat’ berfikir. Biarlah orang lain fikirkan.
Mereka lebih suka menjadi pak turut dan rela melepaskan peluang yang terhidang
di hadapan mata.
Umumnya semua orang mahu menikmati kehidupan
lebih baik, meneroka bakat dan potensi diri. Tetapi, disebabkan mengamalkan
cara berfikir yang negatif, menyebabkan banyak sempadan diri wujud. Kita
sendiri mengatakan ini tidak boleh dan itu tidak mungkin sedangkan belum
mencubanya lagi. Sikap itu umpama kita takutkan hantu sedangkan sebenarnya
hantu yang dimaksudkan tidak wujud.
Banyak orang yang gagal kerana berada dalam
zon selesa, tidak mahu merasai susah dan sakit untuk menebus kejayaan. Mereka
berserah kepada takdir sebelum berusaha. Maka, kegagalan itulah sebenarnya
takdir yang mereka tentukan sendiri. Kelompok manusia seperti ini sebenar tidak
menyedari bahawa diri mereka sudah gagal sebelum kegaglan sebenar berlaku.
Setiap kegagalan yang diderita perlu
difikirkan punca dan sebabnya, apakah kesilapan dilakukan sehingga kita
terlepas daripada mendapat apa yang menjadi cita-cita dan impian kita. Sesungguhnya
kesilapan masa lalu adalah pengalaman berharga untuk masa depan.
Setiap orang yang waras pasti sentiasa
memiliki dua perasaan berbeza dalam hatinya iaitu bahagia atau tertekan.
Hakikatnya manusia dapat mengawal perasaan yang terbuku di hati dengan strategi
reda dan berfikir positif dalam apa juga keadaan dialami.
Perancangan dan pelan tindakan menjadi agenda
yang menghiasi hari orang berjaya. Kegagalan masa lalu dijadikan pengajaran,
begitu juga bencana dan musibah yang menimpa menjadi api pembakar semangat
untuk lebih cekal dan ghairah menghadapi kehidupan yang semakin mencabar.
Sebenarnya berfikir dan bertindak secara
bijak untuk berjaya lebih mudah, berbanding merancang untuk berjaya tetapi
melalui cara yang salah. Mereka yang memilih berjaya atau mendapat apa yang
dihajati secara salah perlu merancang sesuatu yang sukar dan tidak disukai oleh
pesaing lain. Mereka dicemuh dan dibenci oleh orang lain dengan apa yang
dilakukan.
Contohnya, remaja yang malas tetapi ingin
dipuji terpaksa melakukan kerja membodek, mengapu dan seumpamanya. Lakonan
berlagak rajin dan baik dilakukan di hadapan orang, sedangkan sifat sebaliknya
dilakukan pada masa lain. Apa yang dilakukan itu menimbulkan konflik dalam diri
dan mewujudkan kedaan sukar apa terpaksa melakukan secara terpaksa. Mereka
mengamalkan konsep ‘nak jadi malas mesti
kreatif’.
Mengapa mesti kreatif kepada perkara buruk
seperti malas, menipu dan sebagainya? Adalah lebih baik kita kreatif untuk
melakukan kebaikan. Perkara baik bukan saja menyukakan orang lain, tetapi
sebenarnya lebih penting lagi diri kita sendiri merasa puas dan bahagia. Kita
tidak perlu menyembunyikan kebaikan yang dilakukan, walaupun bukan berniat
untuk menunjuk-nunjuk.
Kita boleh melakukan perkara baik dengan
selesa dan tidak perlu takut kepada sesiapa untuk melakukannya. Kalaupun ada
sedikit halangan mungkin timbul daripada pesaing atau mereka yang ada sifat
dengki. Tetapi keadaan ini tidak memberi banyak tekanan.
Jika wujud persaingan, jadikan ia sebagai
motivasi untuk melakukan lebih baik. Sesuatu yang bertujuan untuk kebaikan
sebenarnya untuk dikongsi bersama orang lain. Jadi, sesiapa pun yang berjaya
melakukan perkara baik itu adalah mewakili semua pihak yang turut berusaha ke
arah itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan