Sabtu, 25 Jun 2016

Cara dapat Lailatulqadar

Cara dapat Malam Laitulqadar.  Tanda Malam Lailatulqadar.  Ibadat Malam Lailatulqadar. Malam Lailatulqadar cukup istimewa kerana ‘nilai’ disamakan dengan 1,000 bulan atau lebih 83 tahun.  Sesiapa melakukan ibadat dan kebaikan pada malam itu disediakan ganjaran sama seperti dia melakukannya berterusan selama 1,000 bulan. 

Justeru, ganjaran malam Lailatulqadar perlu direbut setiap muslim yang berusaha menempatkan dirinya pada kedudukan lebih baik di sisi Allah SWT.  Amat beruntunglah sesiapa yang mendapat keberkatan Lailatulqadar.

Anugerah Lailatulaqadar hanya diberikan kepada umat Nabi Muhammad SAW.  Daripada Anas meriwayatkan sebuah hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah telah memberikan kepada umatku Lailatulqadar dan tidak diberikan kepada umat-umat sebelum mereka." (Hadis riwayat Ad-Dailani).

Anugerah itu berkaitan dengan para sahabat yang mengadu bahawa mereka tentu tidak dapat menandingi ibadat umat nabi-nabi terdahulu yang usia mereka hingga ratusan tahun. Sedangkan usia umat Nabi Muhammad SAW sekadar 50 hingga 70 tahun sahaja.  Rasulullah SAW wafat pada usia 63 tahun. 

Dengan adanya malam Lailatulaqadar, peluang beribadat lebih ‘lama’ dapat dicapai oleh umat Nabi Muhammad SAW. Malah jika seseorang itu berulang-ulang kali mendapat Lailatulqadar sepanjang hidupnya, maka bertambah-tambahlah kebaikan yang dikumpulkan untuk dibawa mengadap Allah SWT di akhirat nanti.

Sebuah hadis menjelaskan mengenai keberkatan Lailatulqadar yang bermaksud: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan dan qiam dengan penuh keimananan mengharapkan ganjaran daripada Allah, diampuni baginya dosanya yang lalu, dan sesiapa yang melakukan qiam pada malam Lailatulqadar dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran daripada Allah, akan diampuni dosa mereka yang lalu.” (Hadis riwayat Bukhari).

Keistimewaan malam Lailatulqadar juga dikaitkan sebagai malam di mana al-Quran diturunkan.  Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami menurunkannya (al-Quran) pada malam penuh berkat.” (Surah ad-Dukhan, ayat 3).

Memandangkan tidak diketahui bilakah Lailatulqadar, mengikut akal logik, jika kita 'borong' kesemua malam pada bulan Ramadan, terutama pada 10 mlam terakhir seperti dijelaskan dalam hadis, sudah pasti kita tidak akan terlepas mendapatnya. 

Jumlah 10 malam terakhir bukan 'banyak' untuk dipenuhi dengan ibadat berbanding ganjaran yang diperoleh.  Inilah pentingnya fokus dan ikhlas agar apa yang dilakukan dirasakan mudah dan sesuatu yang disenangi.  

Tetapi fenomena sebaliknya berlaku dalam masyarakat kita.  Biasanya, pada akhir-akhir Ramadan, kita telah mula hilang fokus kepada ibadat.  Ia mungkin berpunca rasa sudah 'jemu' melakukan ibadat sejak awal bulan lagi. 

Mungkin juga kehebatan ibadat pada awal Ramadan hanya sekadar satu ritual yang diamalkan sejak turun temurun. Sebab itu, amat penting kita menanam dalam diri setiap muslim melakukan ibadat kerana mencari keredaan Allah SWT, dan bukannya kerana terikut-ikut dengan budaya atau pengaruh masyarakat sekeliling. 

Jika kita benar-benar ingin beribadat pada malam Lailatulqadar, sesibuk mana sekalipun peluang masih ada.  Beribadat tidak semestinya di masjid atau atas tikar sembahyang sahaja.

Berzikir, beristigfar, berselawat, membaca al-Quran (walaupun sekadar beberapa ayat atau surah lazim), bersedekah, membantu sesama muslim dan melakukan sesuatu kebaikan juga termasuk dalam ibadat yang perlu dilakukan pada malam Lailatulqadar.

Dengan kata lain, tidak sukar untuk menghidupkan malam Lailatulqadar mengikut kesempatan masing-masing.  Selagi bulan Ramadan belum berakhir, peluang untuk menjadi tetamu Lailatulqadar masih ada.

Dalam menghayati pengertian al-Qadar itu sendiri, sebahagian ulama berpendapat bahawa ia bermaksud pengagungan. Oleh yang demikian, di sini dapat kita fahami bahawa lailatul qadar bermaksud malam yang memiliki keagungan kerana telah diturunkan al-Quran pada malam berkenaan, turunnya malaikat, melimpahnya rahmat dan keampunan Allah SWT serta pada malam tersebutlah juga Allah SWT akan menganugerahkan keagungan dan kemuliaan kepada mereka yang melakukan ibadah pada malam tersebut.

Selain itu, al-Qadr juga membawa maksud penetapan. Oleh itu, lailatul qadar juga bermaksud malam penetapan segala urusan yang bakal berlaku pada tahun berikutnya.

Lebih istimewa lagi apabila malam lailatul qadar merupakan malam yang sengaja dirahsiakan oleh Allah SWT sebagai satu ujian kepada umat Islam dalam mencari dan meraih rahmat serta kasih sayang daripada-Nya.

Justeru bagi mereka yang benar-benar beriman kepada Allah SWT dan sentiasa istiqamah dalam melakukan ibadah sepanjang bulan Ramadhan, maka pastinya mereka tidak akan terlepas untuk menemui malam yang lebih mulia daripada seribu bulan ini.

Oleh yang demikian, bagi meraih pahala yang berlipat kali ganda daripada Allah SWT di penghujung Ramadhan, umat Islam disarankan agar terus melipatgandakan ibadah-ibadah sunat bagi mencari dan merebut malam lailatul qadar.

Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Carilah lailatul qadar pada malam-malam yang ganjil daripada 10 malam terakhir di bulan Ramadhan (hadis riwayat Muslim).

Dalam sabdanya yang lain, Baginda SAW juga ada menyebut yang bermaksud: "Carilah lailatul qadar pada 10 malam terakhir. Jika seseorang kamu lemah atau tidak mampu, janganlah dia kalah (putus asa) mencarinya pada baki tujuh malam terakhir (hadis riwayat Muslim).

Daripada kedua-dua hadis di atas dapat disimpulkan bahawa kita seharusnya melipatgandakan ibadah pada malam-malam yang ganjil bermula 10 malam terakhir pada bulan Ramadhan.

Malah, dalam melewati sepuluh hari terakhir Ramadhan, Rasulullah SAW akan mencari lailatul qadar dan menyeru sahabat-sahabat Baginda agar turut serta mencarinya dengan menghidupkan malam-malam berkenaan dengan beribadah (qiamullail). 


Bahkan, baginda juga akan mengejutkan ahli keluarganya pada 10 malam terakhir Ramadhan dengan harapan supaya dapat memperoleh lailatul qadar yang penuh dengan keistimewaan dan keberkatan.

Para ulama berbeza pendapat sama ada Lailatulqadar berlaku pada malam genap atau malam ganjil daripada 10 malam terakhir itu.  

Menurut pendapat Imam Nawawi, memandangkan hadis mengenai Lailatulaqdar berselisih waktunya, ini menunjukkan bahawa malam berkenaan berpindah-pindah pada setiap tahun.

Waktu Lailatulqadar bermula selepas Maghrib hingga terbit fajar keesokkannya.  Dalam masyarakat kita ada menyebut mengenai 'tanda' malam itu adalah Lailatulqadar.  

Ada yang mengatakan pada malam itu keadaannya sunyi, dingin berbanding hari-hari biasa, ada petanda pelik dan sebagainya. 

Bahkan, ada mengaitkan betapa agung Lailatulqadar hingga semua kejadian di muka bumi ini 'terpegun' dan berubah sifat biasanya.  Laut bergelora menjadi tenang, air menjadi tawar, air sungai berhenti mengalir, api tidak lagi membakar, pokok sujud dan sebagainya.

Itu semuanya hanya satu andaian, atau boleh dikaitkan dengan mitos yang tidak boleh dipertanggungjawabkan sahihnya, tidak masuk akal dan mengada-ada.  

Sedangkan hakikatnya tidak siapa tahu bilakah sebenarnya malam telah berlaku Lailatulqadar. 

Perlu diingatkan, jangan pula kita berlebih-lebih dalam membuat pengcaman Lailatulqadar sehingga ada yang melibatkan perkara khurafat. Pertingkatkan ibadat, bukannya mencari tanda-tanda Lailatulqadar. 

Kita tidak perlu mengetahui sama ada malam itu Lailatulqadar atau tidak.  Ibadat bulan Ramadan memberi ganjaran yang besar.  Biarlah kita tidak dapat tahu telah memperoleh Lailatulqadar, kerana apa yang penting ialah catatan pahala yang bakal diketahui di akhirat kelak.

Sebenarnya, lebih baik kita tidak mengetahui bila malam Lailatulqadar bagi mengelak kita menjadi angkuh dan malas beribadat kerana telah mendapat Lailatulqadar.  

Biarlah Lailatulqadar terus rahsia dan kita terus memburunya setiap tahun sepanjang kita masih berpeluang hidup pada bulan Ramadan.

Sesungguhnya ibadah qiamullail merupakan kegemaran Rasulullah SAW dan para sahabat Baginda. Ummul Mukminin Saidatina Aishah r.a. pernah berkata: Janganlah kamu meninggalkan ibadah qiamullail kerana Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkannya. Apabila baginda sakit atau keletihan, baginda bersolat dalam keadaan duduk.

Rasulullah SAW juga bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang menghidupkan malam pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan kesedaran, diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu" (hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Dalah peristiwa yang lain, telah diriwayatkan juga bahawa Saidina Umar al-Khattab r.a. mengerjakan solat malam sehingga sampai separuh malam. Kemudian beliau mengejutkan keluarganya supaya mendirikan solat dengan berkata: "Solat, solat" sambil membaca ayat 132 daripada surah Taha yang bermaksud: "Perintahkanlah keluargamu mendirikan solat dan bersabarlah kamu dalam mengerjakannya. Kami tidak meminta rezeki daripadamu, malah Kami yang memberikan rezeki kepadamu. Kesudahan (yang baik) itu adalah bagi orang yang bertakwa".

Sewajarnya teladan yang ditunjukkan oleh Rasullullh SAW dan para sahabat Baginda dalam menghayati bulan Ramadhan dan sepuluh malam terakhir Ramadhan dijadikan pedoman kepada seluruh umat Islam pada hari ini.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan