Jumaat, 22 Oktober 2021

ISLAM GALAK PENGGUNAAN VAKSIN

 
Mengambil suntikan vaksin adalah salah satu usaha pencagahan terkena penyakit atau mengurangkan kesan jangkitan sesuatu penyakit.

Islam menyarankan umatnya agar sentiasa mencari penawar kepada penyakit yang dihidapi, kerana setiap penyakit ada penawar yang perlu dicari, diterokai dan dikaji.

Ini sesuai dengan sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Setiap penyakit mempunyai penawar, apabila penawar menepati penyakit tersebut, nescaya akan sembuh dengan izin Allah.” (Hadis riwayat Muslim)

Dalam hal ini hukumnya adalah harus. Ini kerana rawatan terdahulu sebelum berlaku wabak atau dibimbangi berlaku satu-satu penyakit adalah dibolehkan.

Mengambil suntikan vaksin adalah salah satu usaha. Sedangkan, Rasulullah SAW mengingatkan kita agar melakukan sesuatu langkah untuk mencegah sesuatu keburukan yang mungkin akan menimpa.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Barangsiapa makan tujuh butir kurma Madinah pada pagi hari, ia tidak akan terkena pengaruh buruk sihir atau racun.” (Hadis riwayat Bukhari)

Tindakan sedemikian termasuk tindakan menghindari penyakit sebelum terjadi.

Demikian juga jika dikhawatirkan timbulnya suatu penyakit dan dilakukan immunisasi untuk melawan penyakit yang muncul di suatu tempat atau di mana saja, maka hal itu tidak masalah, kerana hal itu termasuk tindakan pencegahan.

Sebagaimana penyakit yang datang perlu diubati, demikian juga penyakit yang dikhawatirkan kemunculannya perlu juga dicegah lebih awal lagi.

Benarlah sabda Nabi SAW: “Jangan didekatkan yang sakit dengan yang sihat.” (Hadis riwayat Bukhari).

Kata pepatah, mencegah itu lebih baik dari mengubati.

Begitu juga tindakan Saidina Umar Al-Khatab apabila tidak memasuki kawasan wabak taun dan ditanya kepada Amirul Mukminin, adakah kamu takut kepada qada’ Allah dan kamu lari daripadanaya?

Saidina Umar Al-Khatab menjawab: “Aku lari daripada qada’ Allah kepada qadarnya.”

Hal ini dinyatakan oleh sahabat yang lain, Abdul Rahman bin Auf yang menyebut hadis Nabi SAW: “Apabila kamu dapati terdapat penyakit taun di dalam mana- mana kawasan maka janganlah kamu mendekati kawasan tersebut, dan apabila kamu berada di dalam kawasan yang terkena taun, maka janganlah kamu keluar lari daripada kawasan tersebut.” (Hadis riwayat Bukhari)

Perintah Rasulullah SAW itu dalam istilah moden ia dikenali sebagai kuarantin atau pengasingan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan