Jumaat, 7 Oktober 2022

CATATAN AKHIR BERSAMA SAHABAT

 
Hari ini sempat melawat seorang sahabat, yang pernah menjadi jiran dan bekas guru sukan di sekolah tempat isteri ambo belajar. Lawatan ini adalah yang terakhir kerana selepas itu dia disembahyangkan di hadapan imam, anak-anak, adik beradik, rakan sepermainan, bekas rakan sekerja, rakan seperjuangan, jiran dan yang hadir pada hari tersebut. Selepas itu ia diusung ke tanah perkuburan yang terletak kira-kira tiga ratus meter dari rumah keluarganya.

Kematian yang tidak diduga. Dia dalam keadaan sihat. Seorang yang menjaga kesihatan dengan cara melakukan aktiviti riadah. Bahkan, dia adalah Presiden FIT Malaysia Kota Bharu. Mempunyai kawan yang aktif bersukan dan sering beriadah.

Dia rebah ketika sedang beriadah di trek Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kelantan pada sebelah petang. Lalu dikejarkan Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Universiti Kubang Kerian yang terletak kira-kira dua kilometer dari situ.

Setelah segala usaha menyelamatkan beliau dilakukan barisan doktor, tepat 10.05 malam, beliau disahkan meninggal dunia.

Kira-kira 24 jam sebelum itu, beliau bersama ambo dalam satu mesyuarat. Banyak cadangan atau pendapat diutarakan. Tiada ada-apa tanda yang beliau akan meninggalkan kami semua dan tidak sempat untuk melihat cadangan beliau dilaksanakan.

Bahkan, 12 jam sebelum beliau tidak lagi bernafas, dia sempat menulis di kumpulan WhatsApp menyokong apa yang dilakukan oleh ambo mengikut apa yang dibincangkan semasa mesyuarat sebelah malam.

Kira-kira pukul tiga pagi, 07 Okt 2022, terbaca satu kiriman seorang sahabat di kumpulan WhatsApp bertanyakan tentang pengurusan jenazah beliau. Terkejut dan tidak sangka sama sekali. Ambo kejutkan isteri untuk maklumkan perkara itu.

Terasa ingin terus ke rumahnya yang terletak kira-kira satu kilometer dari tempat tinggal ambo. Namun, difikirkan mungkin jenazah belum dibawa pulang, hasrat itu dipendamkan sahaja. Cuba membuat panggilan untuk bertanya tentang pengurusan jenazah, tetapi tidak berjawab.

Pada 9.30 pagi, ambo sampai di rumah keluarga arwah di Kampung Sireh. Pukul 10.50 pagi jenazah disolatkan sejurus anaknya yang bertugas di Universiti Malaysia Perlis sampai. Selepas itu jenazah diusung ke tanah perkuburan.

Semasa proses pengurusan jenazah diturunkan ke liang lahad dan seterusnya, sempat ambo memberi sedikit tunjuk ajar atau arahan apa yang perlu dilakukan oleh tiga orang anak arwah yang sedang memberi khidmat secara fizikal terakhir kepada papa mereka.

Selepas hampir selesai, ambo bergerak ke satu wakaf di Tanah Perkuburan Paya, Kampung Sireh dan sempat berbual dengan penggali kubur. Cerita si penggali kubur, arwah pernah menunjukkan tempat kubur untuk dirinya. Kisah itu berlaku pada 28 atau 29 Ogos 2022, ketika kerja menggali kubur untuk arwah ibunya.

Kubur arwah betul-betul bersebelahan kubur arwah ibunya, yang mendahuluinya 40 hari sebelum itu.

Semoga roh Zulkepli Hamid damai di sana. Amin.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan