Isnin, 12 Jun 2023

TRADISI MENGARAK PANJI-PANJI YDPA

 
Setiap kali Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang Di-Pertuan Agong, diadakan Istiadat Perbarisan Mengarak Panji-panji Seri Paduka Baginda yang penuh dengan aspek rejimental dan protokol kepada ATM itu sendiri.
 
Panji-panji merupakan satu penghormatan dan lambang kemegahan, semangat dan ketaatsetiaan yang tidak berbelah bahagi oleh ATM terhadap Raja dan Negara. Dilihat dari sudut sejarah, Panji-panji itu sendiri berasal daripada bendera yang digunakan oleh suatu ketumbukan angkatan tentera pada zaman dahulu.
 
Walaupun begitu, pada hari yang serba moden ini, Panji-panji tersebut masih mempunyai peranannya yang signifikan di dalam pembangunan sesebuah angkatan yang moden. Ia sebagai pengisi kekuatan ‘intangible’ di kalangan warga serta menjadi asas kepada sistem-sistem ataupun platform berteknologi tinggi yang dikira sebagai kekuatan ‘tangible’.
 
Pada era moden ini, Panji-panji serta upacara mengaraknya menyumbang kepada lambang perhubungan sesuatu pasukan atau ketumbukan dengan institusi diRaja dan kerajaan di bawah naungan Baginda.
 
Panji-panji ini juga amat penting sebagai identiti serta pemilikan (ownership) setiap warga pasukan ke atas sikap tanggungjawab, legasi dan taat setia yang tidak berbelah bagi terhadap Raja dan negara.
 
Perkataan ‘Battle Honours’ yang tertera di atas Panji-panji melambangkan pertempuran dan kempen-kempen yang telah dilalui oleh rejimen atau pun pasukan tersebut. Ini sebagai tanda peringatan kepada setiap warganya tentang pengorbanan yang telah dilalui oleh generasi terdahulu sebelum layak dianugerahkan Panji-panji berkenaan. Panji-panji ini juga akan sentiasa dipertahankan sehingga ke titisan darah terakhir.
 
Kegagalan mempertahankannya sehingga ia jatuh ke tangan musuh serta sebarang perlakuan yang boleh dianggap mengkhianati kepercayaan Raja dan rakyat merupakan suatu ‘kehinaan’ yang tidak boleh dipandang ringan.
 
Justeru, dapat dirumuskan bahawa betapa pentingnya Panji-panji ini untuk dimuliakan dan apabila ia diarak, akan menjadi tanda penghormatan warga ATM dalam menzahirkan taat setia kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaku pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia.
 
Pada masa yang sama, dalam keadaan aman, apabila Panji-panji dibawa berarak dalam sesuatu istiadat, selain dari dapat membangkitkan semangat keperwiraan, secara tidak langsung ia juga dapat meningkatkan kesedaran terhadap pentingnya menjaga maruah negara melalui simbol Panji-panji ini.
 
Selain itu, perarakan Panji-panji juga sebagai tanda jaminan di atas kesanggupan setiap warga Perkhidmatan, Rejimen mahupun pasukan untuk rela berkorban demi pertahankan kedaulatan dan kepentingan negara serta nilai-nilai rakyat Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan